Negeri

Kerajaan Sabah bakal sedia khidmat pemeriksaan kesihatan percuma untuk rakyat

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan negeri itu akan menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma buat rakyat

Melalui satu kenyataan Hajiji berkata, inisiatif itu akan mula dilaksana di 10 dearah di negeri itu sebagai permulaan.

Keputusan mengenai perkara itu jelasnya dibuat selepas mesyuarat pasca-Kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu di Kota Kinabalu pada Rabu

“Kabinet Negeri Sabah telah bersetuju untuk melaksanakan perkhidmatan itu di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat,” jelasnya.

Mengulas lanjut Hajiji berkata, inisiatif tersebut akan dilaksanakan melalui perkhidmatan bergerak menggunakan van khas yang dilengkapi peralatan perubatan canggih untuk sampai ke kawasan luar bandar.

BACA LAGI: Selangor dan Sabah bincang potensi jalin kerjasama dalam bidang keterjaminan makanan

Sementara itu, Hajiji dalam kenyataan sama turut memaklumkan kerajaan negeri juga telah meluluskan penubuhan Majlis Logistik Sabah.

“Majlis Logistik Sabah di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya katanya akan meneliti penggubalan dasar, pengurusan dan pemantauan isu logistik di Sabah,” tambah beliau.

Selain itu, katanya Kabinet pada mesyuarat hari ini juga bersetuju membenarkan penggunaan bahan binaan konvensional selain Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai langkah mengatasi kelewatan dalam menyiapkan rumah-rumah tersebut.

“Kontraktor tidak dapat menjalankan projek menggunakan bahan IBS kerana isu kos.

“Dengan melonggarkan syarat, kami berharap pembinaan Rumah Mesra SMJ akan lebih cepat dan reka bentuk Rumah Mesra SMJ akan dikekalkan,” tegas Hajiji.

Related Articles

Back to top button