Nasional

Lawatan kerja Zambry ke UK letak pendidikan tinggi Malaysia di pentas global

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir telah mengadakan lawatan kerja empat hari ke United Kingdom dan Malta bermula 23 hingga 24 Januari 2024.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini, tujuan utama lawatan kerja tersebut adalah sebagai usaha strategik untuk meletakkan pendidikan tinggi Malaysia di pentas global.

“Lawatan Zambry turut tertumpu kepada penyelarasan pengurusan pembangunan Education Malaysia United Kingdom and Eire yang merupakan sebuah unit di bawah pentadbiran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London selain lawatan ke projek pembinaan kuarters pegawai di Malaysia Hall yang telah digazetkan di bawah projek pembangunan RMKe-12.

“Pengisian lain melibatkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Lancaster University menerusi MOU – Collaborative Framework Agreement yang berlangsung pada 24 Januari 2024 di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, Zambry turut mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di United Kingdom merangkumi pelbagai peringkat.

Mengakhiri lawatan kerja di UK, Zambry turut berkunjung ke University of Law yang tertumpu kepada perbincangan hasrat University of Law untuk menubuhkan kampus cawangan mereka di Malaysia.

KPT turut memaklumkan Zambry seterusnya akan ke Malta bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Asia-Eropah Kali ke-9 (ASEMME9) dan akan turut menyampaikan ucapan sulungnya pada mesyuarat itu.

Related Articles

Back to top button