Anwar

Selamat menyambut perayaan Thaipusam kepada teman beragama Hindu – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat menyambut perayaan Thaipusam kepada penganut agama Hindu.

Anwar berharap semoga sambutan Thaipusam tahun ini lebih meriah di samping keluarga dan yang tersayang.

“Selamat menyambut perayaan Thaipusam kepada teman-teman yang beragama Hindu.

“Kita akan terus bekerja memastikan Malaysia terus aman dan damai serta nilai kemajmukan diperkukuh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada malam Rabu.

Menerusi rakaman video pula, Anwar berkata, Malaysia meraikan kepelbagaian dan menghormati hak mengamalkan agama masing-masing.

Justeru, beliau berharap masyarakat beragama Hindu di negara ini dapat merayakan Thaipusam dengan tenang bersama keluarga mereka.

Anwar juga mengharapkan usaha, akhlak dan nilai kemanusiaan dijadikan sebagai kekuatan induk dalam Malaysia.

Pada masa sama, dalam satu hantaran di Facebook Istana Negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Thaipusam kepada semua penganut agama Hindu yang menyambut perayaan itu hari ini.

“Semoga hari yang bermakna kepada penganut agama Hindu ini diraikan dengan penuh keceriaan dan sentosa di sisi keluarga tersayang.

“Semoga perayaan itu juga memupuk semangat perpaduan dan persaudaraan sesama masyarakat majmuk dalam negara yang aman dan makmur,” titah baginda berdua.

Related Articles

Back to top button