Semasa

SPRM sudah dapat kebenaran dakwa Daim Zainuddin

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memperoleh kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa Tun Daim Zainuddin .

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika mengesahkan perkara itu berkata, kebenaran itu telah diperolehi sejak seminggu lalu bagi menghadapkan bekas Menteri Kewangan itu atas pertuduhan mengikut Akta SPRM 2009.

“Pihak SPRM sedang menyiapkan pertuduhan, tetapi beliau (Daim) telah dimasukkan hospital dan tidak dimaklumkan secara jelas atas sebab apa.

“Oleh sebab demikian, pertuduhan tidak dapat lagi dilaksanakan buat masa ini dan kita akan melihat kepada keadaan semasa.

“Namun begitu, kita di SPRM tetap akan menuduhnya pada masa yang sesuai,” katanya pada Rabu.

Pada 29 Disember lalu, SPRM mengesahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram dibuat berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora yang sudah dimulakan sejak Februari lalu.

BACA LAGI: Siasatan SPRM terhadap individu berprofile tinggi bukan bermotifkan dendam- Fahmi

Satu Notis mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) telah diserahkan oleh suruhanjaya itu supaya mengisytiharkan segala aset sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis serta akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis pada 7 Jun lalu.

Daim telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan lanjutan pada 6 Julai, 10 Ogos, 11 September, 11 Oktober dan terakhir pada 14 November lalu untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

Pada Selasa, isterinya Na’imah Abdul Khalid didakwa ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis kerana tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Related Articles

Back to top button