Semasa

ABIM ketuai 59 NGO serah memorandum sokong pentadbiran Kerajaan Perpaduan

59 badan bukan kerajaan (NGO) diketuai Angkatan Belia Islam Malaysia pada Khamis menyerahkan memorandum bagi menyatakan sokongan padu terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memorandum itu diserahkan Timbalan Presiden ABIM, Mohammad Fazril Mohd Saleh kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Putrajaya pada Rabu.

Setiausaha Agung ABIM, Aliemran Norashid dipetik laporan media berkata, salinan memorandum itu turut dihantar melalui e-mail kepada Ahli Parlimen untuk menggesa kerajaan yang dibentuk atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu diberi peluang memimpin negara sehingga tamat penggal.

“Hari ini kami menyerahkan Memorandum Rakyat untuk menyatakan sokongan dan kebersamaan bersama kerajaan sedia ada bahawa kami sebagai rakyat mahu kerajaan ini terus stabil seterusnya mendatangkan kemakmuran kepada negara dalam aspek ekonomi, perpaduan dan keseluruhannya.

“Kami mahu kerajaan sedia ada yang dipilih secara sah memimpin negara dalam tempoh lima tahun ini tanpa diganggu agenda di luar undang-undang atau Pilihan Raya Umum seperti tebuk atap dan pintu belakang,” kata Setiausaha Agung ABIM, Aliemran Norashid sebagai mengulas memorandum itu.

BACA LAGI: Sokong PM Anwar kerana PN tak mahu runding peruntukan

Memorandum ‘Rakyat Mahu Kerajaan Stabil’ itu antara lain turut menyatakan majoriti rakyat mahukan pentadbiran kerajaan memberikan tumpuan kepada usaha pembangunan negara dan reformasi institusi di samping memfokus kepada pertumbuhan ekonomi secara holistik.

Ia turut mencadangkan mekanisme perundangan yang dapat mengekalkan pentadbiran kerajaan dipilih rakyat sehingga tamat penggal seperti penggubalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap diwujudkan.

Related Articles

Back to top button