Anwar

Kerajaan lulus tambahan RM5 juta kepada FAM perkasakan Harimau Malaya – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal menerima peruntukan RM5 juta bagi mengurus dan meningkatkan keupayaan skuad bola sepak kebangsaan.

Beliau ketika mengumumkan perkara itu berkata, Harimau Malaya telah menunjukkan keupayaan dan kesungguhan yang tinggi walaupun kalah dalam dua perlawanan awal.

Ujarnya, pencapaian skuad Harimau Malaya yang menunjukkan kesungguhan dan semangat tidak berputus asa ketika mengikat pasukan gergasi Korea Selatan 3-3 pada kempen Piala Asia di Doha, Qatar, malam tadi adalah sesuatu yang menakjubkan.

“Pasukan Harimau Malaya malam tadi menunjukkan kesungguhan dan semangat tidak lusuh walaupun setelah kalah dua pertarungan (tewas di tangan Jordan dan Bahrain dalam aksi Kumpulan E), ia satu perlawanan yang menakjubkan dan hebat.

“Jadi, saya ucapkan tahniah kepada mereka kerana menunjukkan semangat demikian. (Berdasarkan) pertimbangan daripada Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh), kerajaan setuju meluluskan RM5 juta kepada FAM supaya dapat menguruskan pasukan bola dan meningkatkan keupayaan mereka.

“Peruntukan ini akan disalurkan segera kepada FAM,” katanya kepada pemberita sebelum majlis makan tengah hari di Sri Hartamas, hari ini.

Berpakaian baju Melayu berwarna biru muda, Anwar tiba kira-kira pukul 12.43 tengah hari disambut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang juga Ahli Parlimen Segambut dan Datuk Bandar Kuala Lumpur,Datuk Kamarulzaman Mat Salleh

Perdana Menteri meluangkan masa hampir 30 minit menjamu selera di Restoran Pelita, Desa Sri Hartamas sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Ubudiah, Bukit Segambut.

Pada masa yang sama, Hannah menerusi hantaran di Facebook turut berterima kasih kepada Anwar di atas pemberian sumbangan RM5 juta kepada FAM bagi tujuan menjalankan aktiviti dan program tahun 2024.

“Sumbangan ini bukan untuk kos operasi seperti bayaran emolumen, utiliti dan sewaan pejabat dan akan dipantau berkala oleh Kementerian Kewangan,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button