ekonomi

Malaysia meterai MoU dengan UAE, majukan sektor infrastruktur digital

Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengukuhkan komitmen mereka untuk memajukan kerjasama pelaburan dalam sektor infrastruktur digital.

Ia susulan penandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia dan Kementerian Pelaburan UAE bagi membangunkan pusat data di Malaysia dengan projek berpotensi dijangka mencapai jumlah kapasiti 500 megawatt pada Khamis.

MITI dalam kenyataan berkata MoU itu yang ditangani Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pelaburan UAE, Mohamed Hassan Alsuwaidi turut mencerminkan komitmen kukuh ke arah kerjasama yang mantap dalam pertukaran pengetahuan dan kepakaran dalam sektor infrastruktur digital antara kedua negara.

Ia juga akan turut memajukan kecerdasan buatan (AI), sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang bertujuan untuk meningkatkan kapasiti industri, PKS dan syarikat pemula niaga dalam AI dan membangunkan penyedia penyelesaian AI.

“Kerjasama infrastruktur digital Malaysia dengan UAE dengan tumpuan kepada pusat data akan membantu mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan digital.

“Dengan menjadi hab pusat data serantau, Malaysia berada pada kedudukan baik untuk menguasai sebahagian besar ekonomi digital ASEAN, diunjur mencecah AS$1 trilion menjelang tahun 2030.

“MITI dan agensinya berazam untuk mempercepatkan pelaksanaan semua pelaburan komited supaya pelabur, perniagaan dan rakyat Malaysia meraih faedah daripada ekonomi digital yang lebih mantap dan berkembang maju dalam Malaysia dan ASEAN,” kata kenyataan tersebut.

MITI turut melihat, permintaan yang semakin meningkat daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serantau akan memberi dorongan kepada status Malaysia yang semakin meningkat sebagai pemain serantau yang penting dalam ekonomi digital.

“Malaysia telah muncul sebagai destinasi pilihan untuk pusat data di Asia Tenggara berikutan infrastruktur digital dan fizikalnya yang kukuh, kedaulatan undang-undang serta langkah dan inisiatif yang disokong kerajaan yang menarik mengenai pelaburan pusat data,”tambah kenyataan tersebut.

BACA LAGI: Kerajaan tubuh NSSTF, khusus tarik pelaburan strategik sektor semikonduktor

Ketika ini, UAE ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah dan Malaysia adalah pemain utama dalam eksport dan eksport semula UAE di rantau ASEAN.

MoU itu juga dilihat menjadi bukti kepada hubungan perdagangan yang kukuh antara Malaysia dan UAE dengan pertumbuhan ketara dalam volum perdagangan bukan minyak.

Related Articles

Back to top button