Global

Pemimpin Palestin ucap terima kasih kepada PM Anwar dan rakyat Malaysia

Keprihatinan serta bantuan dihulurkan rakyat Malaysia kepada warga Gaza, Palestin yang kini masih berhadapan dengan kekejaman rejim Israel mendapat penghargaan dari Menteri Luar Negeri Palestin Dr Riad Al-Maliki.

Perkara itu didedahkan Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin melalui satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, Dr Riad telah menyampaikan ucapan terima kasih khusus buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh rakyat Malaysia dan menghargai pernyataan Malaysia berhubung Palestin di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara Negara Berkecuali (NAM).

“Riad mengucapkan penghargaan dan rasa terima kasih beliau atas luahan simpati dan sokongan moral yang disampaikan.

“Menurut beliau, sokongan dan bantuan berterusan rakyat Malaysia amat dihargai oleh rakyat Palestin yang lain,” katanya.

Difahamkan, Dr Riad telah bertemu Mohamad Alamin ketika kedua-dua pemimpin menghadiri Persidangan Selatan Ketiga Kumpulan Negara-negara G77 dan China di Kampala, Uganda baru-baru ini.

Pada pertemuan itu, Mohamad Alamin turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kerajaan dan rakyat Malaysia yang sentiasa mengikuti perkembangan di Palestin.

BACA LAGI: Palestin berhak mendapat hak bernegara yang berdaulat – PM Anwar

Tambah beliau, pihaknya akan terus berusaha untuk memberikan bantuan bagi meringankan penderitaan yang dialami penduduk di sana.

“Semoga konflik yang mengorbankan lebih 25,000 nyawa terutamanya wanita dan kanak-kanak selain kerosakan harta benda serta infrastruktur awam ini dapat dihentikan segera.

“Saya dan Riad berharap berharap persidangan ini dapat meyakinkan masyarakat dunia dan pemimpin-pemimpin negara lain tentang keperluan memberikan tekanan kepada Israel agar menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan mereka,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Related Articles

Back to top button