Program Tenaga Bersih Bersepadu jana pelaburan RM12 bilion, wujud 36,000 pekerjaan – Fadillah
Pelaksanaan program Tenaga Bersih Bersepadu (TBB) bagi tahun 2024 akan menyokong inisiatif peralihan tenaga dan pengurangan jejak karbon yang dihasratkan negara.
Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, selain menjana limpahan ekonomi dalam bentuk nilai pelaburan langsung berjumlah RM12 bilion dalam industri TBB dan mewujudkan sekurang-kurangnya 36,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Kementerian sedang mengkaji dan membangunkan program serta inisiatif baharu dalam bidang TBB yang bersifat progresif, berdasarkan kemajuan dalam pembangunan sektor TBB dan permintaan akan bekalan elektrik hijau semasa.
“Semua usaha ini bertujuan untuk meningkatkan campuran TBB dalam pembekalan elektrik negara, sambil membuka lebih banyak peluang dan akses kepada bekalan elektrik hijau,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam akan memimpin usaha negara dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mapan atau Sustainable Development Goal (SDG) Ke-7 berkaitan bekalan elektrik.
“Kami akan pastikan peralihan tenaga berdasarkan prinsip kesaksamaan, ketelusan, inklusiviti, dan daya saing. Komitmen kami termasuk mengurangkan jejak karbon dengan meningkatkan sumber TBB kepada 70 peratus pada 2050 dari hanya 25 peratus pada masa kini.
“Peningkatan ini akan diurus secara menyeluruh, memberi keutamaan kepada kebolehpercayaan sistem bekalan, keterjangkauan pengguna dan kelestarian sumber,” ujarnya.
Katanya, berdasarkan pertimbangan yang teliti ke atas faktor-faktor keupayaan sistem grid, permintaan bekalan elektrik hijau, nilai limpahan ekonomi serta kesanggupan membayar oleh pengguna, kerajaan akan melaksanakan inisiatif dan program TBB bagi tahun 2024.
Selain itu, Fadillah berkata, Hari Tenaga Bersih Antarabangsa (HTBA) diraikan pada 26 Januari ini untuk kali pertama di seluruh dunia selepas diumumkan secara rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 25 Ogos 2023.
Menurutnya, tujuan sambutan HTBA adalah untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan usaha masyarakat global dalam memenuhi komitmen peralihan tenaga yang saksama dan inklusif berdasarkan Matlamat Pembangunan Mapan atau Sustainable Development Goal (SDG) Ke-7 yang bertujuan memastikan akses kepada bekalan tenaga yang mampu bayar, boleh dipercayai, mapan dan moden.