Pulau Batu Putih: RCI bantu kerajaan ketahui prosedur berkait kedaulatan – Azalina
Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengkaji pengendalian kes Batu Puteh bertujuan untuk menyiasat apa yang berlaku ketika kes itu dikendalikan oleh kerajaan lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, walaupun sebuah pasukan petugas khas pernah diwujudkan sebelum ini, RCI diwujudkan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan termasuk membantu kerajaan mengetahui proses dan prosedur mengenai kedaulatan.
“Agensi mana yang tertakluk dan bertanggungjawab kepada kedaulatan? Majlis Keselamatan Negara (MKN)? Kabinet? Pasukan petugas khas sudah ada hasilnya tetapi keputusannya bukan domain awam yang belum diberitahu kepada rakyat, masih di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Jadi RCI ini lebih terbuka dan rakyat mesti memahami negara kita dengan geopolitiknya dan di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10 beliau sangat prihatin dengan isu kedaulatan.
“Apa yang berlaku pada Batu Puteh sesuatu yang tidak boleh berlaku kepada pulau di bawah kawalan kita sama ada di negeri atau Persekutuan,” katanya.
BACA LAGI: Kerajaan tubuh RCI terkait kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan
Azalina berkata begitu dalam sidang media pelancaran Van Justice On Wheels (Jabatan Bantuan Guaman) di Dewan Gawir, Kampung Madsiang di Penampang, Sabah pada Khamis.
Penubuhan RCI tersebut di dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.
Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Mohd Zuki Ali, yang juga Ketua Setiausaha Negara sebelum ini berkata, penubuhan RCI itu dibuat selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), dan cadangan keanggotaan suruhanjaya itu akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.