SMART SBB: Malaysia berpotensi jadi negara pengeksport beras
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan komited untuk melaksana program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan ke seluruh negara bagi memastikan bekalan makanan terjamin dan mencukupi sepanjang masa.
Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, ia berikutan projek rintis yang dilancarkan pada Mei tahun lalu berjaya memberi hasil tuaian memberangsangkan dengan salah satu kawasan perintis penanaman padi berjaya meningkatkan hasil pengeluaran daripada tujuh tan metrik per hektar kepada 10.45 tan per hektar.
“Kalau projek perintis ini meneruskan pencapaian hasil padi secara keseluruhan sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan tan metrik per hektar, kita akan laksanakan program tersebut secara besar-besaran.
“Hasil padi ini kelak bukan sahaja mencukupi dalam negara malah akan boleh dieksport pula,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia dengan tajuk `Memperkasa Agenda Pertanian Negara’ terbitan Bernama TV hari ini.
Tambahnya, ketika ini 17 kawasan penanaman padi di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu telah menyertai projek perintis ini.
BACA LAGI: KPKM garis 12 program, laksana tranformasi industri padi dan beras negara
Menyentuh mengenai hala tuju pertanian negara, beliau berkata pihaknya akan memastikan semua agenda yang dirancang oleh kementerian akan dilaksanakan serta memberi keutamaan kepada sektor keterjaminan makanan merangkumi sektor jagung bijian, akuakultur dan penternakan melalui feedlot.
“Kita juga utamakan penglibatan orang muda atau belia dalam pertanian seterusnya boleh meremajakan pertanian, sekali gus memastikan institusi-institusi yang terlibat di bawah kementerian ini akan membimbing dan memberi panduan kepada generasi akan datang yang terlibat dalam pertanian,” katanya.