Uncategorized

Agong titah segera laksana projek rancangan tebatan banjir

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya kerajaan segera melaksanakan projek rancangan tebatan banjir (RTB) sebagai usaha meminimumkan risiko berlakunya banjir di kawasan Sungai Lembing, Kuantan, Pahang.

Perkara itu termasuk, kerja-kerja mendalamkan Sungai Kenau yang seringkali menjadi punca pekan Sungai Lembing dilanda banjir apabila hujan lebat.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berangkat menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Lembing di Kuantan, Pahang.

Kediaman penduduk berhampiran sungai itu juga perlu dibina dua tingkat bagi mengurangkan risiko kerosakan harta benda apabila banjir melanda.

Pekan Sungai Lembing kerap dilanda banjir termasuk bukan di waktu musim terkujuh justeru tindakan segera perlu dilaksanakan bagi menangani masalah banjir secara berkesan di kawasan tersebut.

Sebelum ini, kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM99 juta bagi projek RTB melibatkan kawasan Sungai Lembing.

Dalam majlis itu, baginda yang diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, turut berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai serta kit bantuan banjir kepada penduduk terjejas banjir.

Related Articles

Back to top button