Umum

Bantuan Awal Persekolahan RM150 disalur tanpa sebarang pemotongan – KPM

Penyaluran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada setiap murid perlu dilakukan tanpa melakukan sebarang bentuk pemotongan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, pihak sekolah perlu mematuhi semua garis panduan berkaitan pelaksanaan BAP tersebut.

Menurutnya, kementerian prihatin terhadap beberapa aduan yang diterima berkaitan penyaluran peruntukan BAP kepada murid.

“BAP bernilai RM150 bagi setiap murid dilaksanakan bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa dan penjaga.

“Penyaluran BAP dilakukan melalui sekolah secara kredit ke akaun murid atau secara tunai,” katanya.

Katanya, sebarang pertanyaan atau aduan mengenai penyaluran BAP boleh dibuat menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM.

Terdahulu, KPM mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM702.01 juta khusus untuk tujuan BAP yang akan memberi manfaat kepada lebih 4.68 juta murid dengan melibatkan 11,860 buah sekolah di seluruh negara.

Related Articles

Back to top button