Semasa

Buat laporan jika terima BAP kurang dari diumum kerajaan – Menteri Pendidikan

Menteri Pendidikan. Fadhlina Sidek mengingatkan ibu bapa pelajar membuat laporan sekiranya Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2024 diterima mereka tidak seperti diumumkan kerajaan.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian Wakalah Zakat Peranti untuk sebuah sekolah di Labuan pada Jumaat, Fadhluna berkata setiap pelajar atau ibu bapa diberi insentif sekali bayar RM150 tanpa sebarang potongan lain termasuk yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Ibu bapa yang menerima bantuan bukan dalam jumlah penuh perlu membuat laporan kepada kementerian.

“Berdasarkan garis panduan, tiada potongan bayaran BAP kepada pelajar yang layak tanpa mengira latar belakang ekonomi mereka,” katanya.

BACA LAGI: RM788.13 juta diperuntuk khusus untuk Bantuan Awal Persekolahan

Pada Oktober tahun lepas, Kementerian Pendidikan memaklumkan sebanyak RM788.13 juta telah diperuntukkan untuk BAP di bawah Belanjawan 2024, yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.25 juta pelajar.

BAP sebanyak RM150 setiap seorang itu diagihkan bermula bulan ini bertujuan mengurangkan beban kepada ibu bapa dan penjaga dalam membuat persediaan persekolahan anak mereka.

Sementara itu Fadhlina berkata, KPM telah meluluskan RM2.3 juta sebagai Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2024 untuk kesemua 27 sekolah di Labuan.

Related Articles

Back to top button