Sukan

Kekalahan Harimau Malaya di Qatar merupakan batu loncatan untuk cipta kejayaan

Semua pihak perlu berhenti menuding jari dan melihat prestasi kurang memberangsangkan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon pada Piala Asia 2023 daripada sudut yang positif, kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau berkata, adalah menjadi lumrah dalam bola sepak ada kalanya pasukan terpaksa menelan kepahitan mengalami kekalahan dan kekecewaan dialami itu perlu diurus dengan baik untuk bangkit lebih cemerlang.

“Dalam bola sepak bukan boleh menang sepanjang masa, ada masa kita kalah dan kita perlu bangkit balik. Apabila kalah ia menjadi satu pengalaman dan kita perlu bangkit balik, kita kena kerja (lebih) kuat. Saya bagi tahu semua pemain dan Kim Pan Gon, apabila kalah jangan salahkan siapa-siapa.

“Dalam bola sepak bila kalah pasti ada kelemahan tapi kita lihat secara keseluruhan… media, penyokong perlu beri sokongan untuk pasukan jadi kuat balik. Ini bukan pasukan saya, pasukan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media rangkuman prestasi skuad Harimau Malaya.

Hamidin turut menjadikan dua gergasi Asia iaitu Jepun dan Korea Selatan yang masing-masing turut mengalami kekalahan serta hampir ditewaskan pada kempen kali ini sebagai contoh bagi menyokong kenyataan beliau.

Pada Piala Asia 2023 di Qatar, Malaysia mengalami kekalahan masing-masing 0-4 di tangan Jordan dan 0-1 kepada Bahrain sebelum menampilkan persembahan menakjubkan dengan mencatat keputusan seri 3-3 menentang juara dua kali Korea Selatan.

Terdahulu, sebanyak RM7 juta bajet diperuntukkan kepada pasukan bola sepak negara dalam merancakkan kempen Piala Asia 2023 di Qatar kali ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jumlah itu lebih kecil berbanding perbelanjaan pasukan lain dalam Kumpulan E seperti Bahrain, Korea Selatan dan Jordan untuk bersaing di pentas bola sepak tertinggi Asia itu.

Katanya, Korea Selatan membelanjakan sebanyak RM94 juta, Jordan (RM23.5 juta) dan Bahrain (RM28.2 juta) bagi menghadapi kejohanan itu berbanding Malaysia.

Related Articles

Back to top button