Kerajaan berhasrat lanjut penempatan panda dari China
Kerajaan bercadang untuk melanjutkan program perjanjian kerjasama konservasi antarabangsa panda gergasi, Liang Liang dan Xing Xing di Zoo Negara bagi memastikan lebih ramai orang berpeluang melihat keunikan haiwan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan China, berhubung lanjutan penempatan itu.
“Saya akan hubungi kerajaan China, khususnya (Presiden) Xi Jinping, besar kemungkinan menyambung.
“Berdasarkan hubungan hebat antara kedua-dua negara, saya optimistik China akan berikan pertimbangan dan sokongan kepada permintaan kita ini,” katanya selepas merasmikan Ulang Tahun Jubli Intan ke-60 Tahun Zoo Negara, hari ini.
Biarpun mengakui kos penjagaan kedua-dua panda gergasi ini adalah tinggi, namun Anwar berpandangan penempatan mamalia itu dirasakan masih berkepentingan kepada masyarakat.
Ia sekaligus menjawab pertikaian orang ramai mengenai ‘pembaziran’ wang kerajaan.
“Kita tidak bayar harga panda itu, cuma maintenance sahaja, dan kalau ada kesediaan kena tanya orang ramai, antara yang berkunjung ke zoo itu (sebab) nak lihat panda.
“Bagi rakyat kebanyakan, dia merasakan ini adalah peluang sekali dalam seumur hidup melihat panda, jadi saya timbang dari segi itu.
“Memang saya tahu kadang-kadang kos makanan dan pengurusan agak mahal, tetapi inilah sedikit belanja yang boleh menyenangkan pengunjung,” katanya.
Mengikut perjanjian, Liang Liang dan Xing Xing perlu dipulangkan kepada kerajaan China pada Mei tahun ini, selepas 10 tahun dipinjamkan kepada Malaysia sejak 2014.
Pada masa yang sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk pembangunan Zoo Negara.
Anwar berkata, Zoo Negara juga merima dana tambahan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh beberapa syarikat dan berjaya mengumpul jumlah sebanyak RM5 juta.