Nasional

Lebih 60 peratus sekolah daif di Sabah, Sarawak telah berjaya dibaik pulih – Menteri

Lebih 60 peratus atau sebanyak 693 daripada 1,069 sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak telah dibaik pulih, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) terus komited untuk menyelesaikan isu sekolah usang di negara ini.

“Infrastruktur sekolah yang usang bukan sahaja berlaku di negeri tertentu dan usaha baik pulih ini selaras dengan misi Kementerian Pendidikan untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada pelajar.

“Kementerian Pendidikan telah mencapai kemajuan yang baik dalam menyelesaikan isu sekolah daif, terutamanya di Sabah dan Sarawak apabila lebih separuh sekolah terjejas telah menjalani pembaikan yang diperlukan,” katanya pada majlis penyampaian Wakalah Zakat Peranti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan pada Jumaat.

Beliau berkata, kementerian juga melaksanakan sistem penarafan bintang dengan tempoh penilaian selama tiga bulan dalam menyiapkan proses baik pulih sekolah terbabit.

Terdahulu, Fadhlina telah mengadakan acara lawatan kerja ke Wilayah Persekutuan Labuan yang turut disertai oleh pengurusan tertinggi dan pegawai-pegawai kanan KPM.

Lawatan kerja itu dimulakan dengan acara penyerahan peranti dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di SMK Labuan, diikuti dengan pemukiman bersama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan diakhiri dengan sesi perkongsian Menteri Pendidikan bersama guru-guru baharu.

“Harapan saya agar guru-guru baharu ini dapat memacu rencana pendidikan negara dengan cemerlang dan berupaya memperlihatkan jiwa sebagai pendidik dengan baik khususnya dalam suasana dan ekosistem yang sangat mencabar ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button