Anwar

Seniman veteran Jalil Hamid terima sumbangan daripada PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan kesihatan dan keselamatan kepada seniman veteran, Jalil Hamid yang sedang diuji dengan masalah kesihatan jantung.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar memaklumkan Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi telah berkesempatan menziarahi dan memberikan sedikit sumbangan kepada pelantun lagu ‘Ayam’ itu pada Jumaat.

“Alhamdulillah, semalam Setiausaha Politik saya, saudara Farhan Fauzi berkesempatan melakukan ziarah ke atas seniman Jalil Hamid serta memberikan sedikit sumbangan kepada beliau.

“Saya mendoakan saudara Jalil dikurniakan afiyah serta sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Jalil atau nama sebenarnya Abdul Jalil Abdul Hamid, 67, mendedahkan dia mengalami penurunan berat badan mendadak sebanyak 30 kilogram (kg).

Jalil berkata, penyusutan berat badan itu berlaku selepas dia disahkan mengalami masalah jantung dan hilang selera makan sejak setahun lalu.

Pelakon filem Bisik Pada Langit itu juga mendedahkan sudah tiga tahun tidak menerima tawaran pekerjaan kerana masalah kesihatan.

Beliau disahkan doktor menghidapi masalah jantung bengkak dan baru sahaja menjalani pembedahan pada Julai tahun lalu.

Related Articles

Back to top button