Semasa

Rakyat rasai hikmah keadilan, kebijaksanaan Al- Sultan Abdullah- PM Anwar

Keprihatinan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, terhadap kebajikan rakyat jelata melangkaui batasan biasa antara raja dengan rakyat, kata Perdana Menteri.

Melalui Sembah Ucapan pada Majlis Jamuan Negara sempena tamat pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 malam tadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata yakin seluruh rakyat merasai hikmah keadilan dan kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah dalam memastikan keamanan dapat dinikmati oleh semua sepanjang pemerintahan Seri Paduka.

“Bermula dengan ketidakstabilan dan simpang-siur politik yang berpanjangan, penularan serta hentakan pandemik COVID-19 dan kelesuan ekonomi silih berganti telah meletakkan negara dalam ketidaktentuan dan kegawatan.

“Namun Tuanku telah menyempurnakan amanah pemerintahan dengan sempurna melalui sifat-sifat yang merakyat serta istiqamah menyelami denyut nadi rakyat jelata dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan terus diutamakan dalam apa jua keadaan,” katanya.

Sementara itu tambah Anwar, konsep Raja Berperlembagaan dan peranannya dalam sistem demokrasi bercorak Westminster ternyata melonjak peri pentingnya terutama dalam merungkai mehnah dan kemelut politik yang berpanjangan di masa lalu.

Tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah juga mencatatkan satu lembaran sejarah baharu dengan negara dan jentera pentadbiran kerajaan diuji seperti pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali sehingga memerlukan pengemudian cekap selain pengorbanan semua pihak melangkaui amalan biasa.

“Kita saksikan kebijaksanaan Tuanku dalam kemelut pertukaran Mamanda Perdana Menteri sebanyak tiga kali sehingga pilihan raya baharu diadakan pada penghujung November 2022 yang akhirnya menunjukkan bahawa tidak ada satu parti politik pun yang memperoleh majoriti yang cukup untuk mendirikan kerajaan.

“Tuanku, seperti yang terpamer pada ketika itu, akhirnya menitahkan agar sebuah kerajaan yang stabil dan kuat ditubuhkan yang merangkumi semua kaum, semua negeri dan wilayah di negara ini sebagai jalan memecah kebuntuan politik.

“As they say, the rest is history dan detik ini menandakan betapa sistem Raja Berperlembagaan telah menjadi keutamaan yang tepat dalam menjawab kemelut politik,” kata Anwar.

BACA LAGI: Agong titah PM Anwar teruskan tugas, Istana Negara tidak akan terlibat percaturan politik

Dalam sembah ucapannya juga, Anwar turut menzahirkan penghargaan atas cetusan kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah mempertaut permuafakatan dan memungkinkan kestabilan serta kedudukan politik negara melalui titah agar Kerajaan Perpaduan diwujudkan.

“Berbekalkan kepercayaan ini dan keprihatinan terhadap rakyat tambah memperkuat iltizam patik bersama Jemaah Menteri dalam memastikan negara ditadbir dengan baik demi mengangkat darjat negara serta tahap kesejahteraan rakyat.

“Insya-Allah, kerajaan bertekad untuk terus berusaha dan berbakti dengan sepenuh jiwa raga demi rakyat dan negara tercinta,” kata Perdana Menteri.

Related Articles

Back to top button