Global

PM Anwar ikrar, Malaysia akan lakukan apa saja untuk bela rakyat Palestin

Malaysia terus menyokong Palestin dan akan melakukan apa sahaja usaha untuk membela nasib rakyat negara itu yang ditindas rejim Israel.

Ikrar itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Jumaat.

Bercakap kepada pemberita merasmikan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara pada Sabtu Anwar berkata, Malaysia akan terus memantau situasi di Semenanjung Gaza selain terus menyokong gesaan gencatan senjata dan desakan agar Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

“Kita akan buat sahaja untuk terus berjuang bagi Palestin. Malaysia akan terus memantau dan lakukan apa sahaja seperti mana disuarakan Menteri Luar di sidang PBB New York beberapa hari lalu.

“Walaupun menurut teman-teman dari Palestin… (keputusan itu) tidak sepenuhnya memihak… tetapi jelas pendirian ICJ mengutuk serangan dan mendesak supaya dihentikan serangan dan disegerakan bantuan kemanusian.

“Sekurang-kurangnya jelas pendirian ICJ mengutuk serangan dan mendesak dihentikan serangan dan disegerakan bantuan kemanusiaan,” katanya.

BACA LAGI: Pemimpin Palestin ucap terima kasih kepada PM Anwar dan rakyat Malaysia

Pada 12 Januari lalu, ICJ memulakan prosiding bicara kes yang dibawa Afrika Selatan yang menuntut penggantungan operasi ketenteraan di Gaza di mana ia mendakwa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Keputusan prosiding itu pada Jumaat mengarahkan agar Israel membenarkan bantuan kemanusiaan oleh mana-mana pihak ke Gaza malah mereka diarahkan untuk menghalang semua kemungkinan tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Related Articles

Back to top button