Anwar

PM Anwar tugaskan Syed Abu Hussin dari Bersatu ketuai jawatankuasa tangani sara hidup

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan melantik Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang juga ahli Bersatu untuk menguruskan jawatankuasa tangani sara hidup.

Anwar berkata, Syed Hussin akan mengetuai kluster tersebut di bawah Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

“Saya nanti tugaskan Syed Hussin bantu dalam mesyuarat penyelarasan harga barang makanan, NACCOL ini.

“Saya mengesahkan supaya dia akan mengepalai kluster yang akan tambah ikhtiar supaya Jualan Madani ini dapat kita tingkatkan di seluruh negara dan kena perluaskan dan kerapkan lagi,” katanya.

NACCOL adalah salah satu kluster dalam Sektor Hal Ehwal Kos Sara Hidup dan Penyelidikan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang berperanan merangka dasar, strategi serta pelan tindakan untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup untuk pertimbangan dan persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri.

Sementara itu, Syed Hussin berkata beliau bersedia menerima tanggungjawab tersebut termasuk bagi melaksanakan program jualan tersebut di seluruh negara.

Katanya, terdapat beberapa kaedah bagi menstabilkan harga barangan keperluan termasuk beras sebelum diikuti dengan barang keperluan lain.

Syed Hussin adalah antara enam Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Anwar.

Related Articles

Back to top button