Program jualan barangan keperluan harga murah akan diperluas ke seluruh negara – PM Anwar
Program Jualan Termurah Khidmat Demi Rakyat akan diperluas ke seluruh negara bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata beliau mengambil berat keluhan rakyat berkaitan kehidupan seharian termasuk peningkatan kos sara hidup.
“Kerajaan sentiasa berikhtiar bagi membantu rakyat termasuk dengan kewujudan jualan murah bersama kerjasama pihak terkait yang dijangka memberi manfaat kepada semua lapisan.
“Insya-Allah, program jualan barangan keperluan ikan, ayam, beras dan sebagainya dengan harga murah seperti hari ini, akan diperluas ke seluruh negara kelak,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Program Jualan Termurah Khidmat Demi Rakyat di Padang Awam Klebang Restu di Ipoh, hari ini.
Perdana Menteri selepas itu meluangkan masa menziarahi keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang kematian bapanya akibat sakit tua di Hospital Fatimah kira-kira pukul 1 petang semalam.
Mengulas tentang kunjungan tersebut, Muhamad Arafat berkata, kunjungan selama kira-kira 10 minit Perdana Menteri di kediaman keluarganya itu adalah amat dihargai biarpun beliau sibuk dengan jadualnya di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Pengerusi PKR Perak, Chang Lih Kang.