Uncategorized

TMJ dilantik sebagai Pemangku Sultan Johor

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dilantik sebagai Pemangku Sultan bagi Negeri Johor dalam Majlis Istiadat Pelantikan Pemangku Sultan di Istana Bukit Serene di Johor Bahru.

Perkara tersebut diumumkan oleh Yang Di Pertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dalam satu kenyataan, hari ini.

“Jumaah Majlis DiRaja mengumumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim dengan nasihat dan pesertaan Jumaah Majlis DiRaja dan dengan kuasa dan kehendak Fasal 9 (1) (d) dan (3) dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 telah suka dan berkenan melantik Waris Takhta Kerajaan Johor, Tunku Mahkota Johor Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Sultan bagi Negeri Johor Darul Ta’zim pada hari Ahad, 28 Januari 2024 bersamaan 16 Rejab 1445 Hijrah.

“Pelantikan ini hendaklah berterusan untuk selama DYMM Tuanku menjalankan kerja-kerja Yang Di-Pertuan Agong,” menurut kenyataan itu.

Tuanku juga berkenan gelaran kehormatan bagi Pemangku Sultan ialah ‘Duli yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor’ atau ‘DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor’.

Pelantikan itu dibuat susulan keberangkatan Sultan Ibrahim yang akan bersemayam di Istana Negara, Kuala Lumpur mulai 31 Januari ini bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun.

Tunku Ismail, 39, yang diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru, merupakan putera sulung Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah daripada enam paduka anakanda.

Sebelum pelantikan itu, baginda yang meminati sukan polo dan bola sepak telah beberapa kali diamanahkan menjadi Pemangku Raja dengan kali terakhir pada 16 Jun 2022 ketika Sultan Ibrahim berehat seketika daripada menjalankan tugas serta mentadbir Johor.

Tunku Ismail, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sejak 16 Feb 2012, telah mendirikan rumah tangga dengan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor pada 24 Oktober 2014.

Pasangan diraja itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu dua putera dan dua puteri iaitu Tunku Khalsom Aminah Sofiah, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim, Tunku Abu Bakar Ibrahim dan Tunku Zahrah Zarith Aziyah.

Related Articles

Back to top button