Mahkamah

Daim mengaku tidak bersalah gagal isytihar harta, termasuk 25 hartanah dan 38 syarikat

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk 38 syarikat, 25 unit haratanah, tujuh kenderaan mewah serta dua akaun dana pelaburan.

Daim, 85 tahun atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin kelihatan tenang dan hanya menjawab, “faham” dan “minta bicara” selepas tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau yang memakai sut hitam dan berkerusi roda, dibenarkan berada di luar kandang tertuduh sepanjang proses pertuduhan.

Azura kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM280,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia, namun tidak mengenakan syarat tambahan seperti menyerahkan pasport dan melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM.

Hakim kemudian menasihatkan pihak-pihak terlibat supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang mungkin menjadi subjudis kepada kes jenayah yang sedang berjalan, serta menetapkan 22 Mac untuk sebutan kes.

Tun Daim yang memegang jawatan Menteri Kewangan dari tahun 1984 hingga 1991 didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 dan 14 November 2023 yang dihantar kepadanya oleh pegawai SPRM dengan tidak mengisytiharkan harta.

Kesemua harta terbabit antaranya tujuh kenderaan mewah termasuk Mercedes Benz, Jaguar, Austin Morris dan Rolls Royce.

Juga 38 syarikat antaranya Ibu Kota Developments Sdn Bhd, Menara Ampang Sdn Bhd dan Avillion Berhad, termasuk 25 hartanah dan tanah di bawah syarikat di Kuala Lumpur, Ampang, Raub Pahang dan Kuala Muda Kedah serta akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.

Related Articles

Back to top button