Politik

Parti Bersatu dalam situasi berantakan ?

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilapor sedang berada dalam keadaan tidak menentu susulan dakwaan berlaku perpecahan.

Memetik laporan media, berlaku rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parti itu tehadap keutamaan pucuk pimpinan utama memimpin parti itu.

Seorang pemimpin Bersatu dari Johor dipetik laporan Harian Metro berkata, pemimpin dilihatnya tidak meletakkan parti sebagai keutamaan, sebaliknya mengutamakan agenda peribadi sehingga mewujudkan ‘kem’ dalam parti.

“Ketika presiden mahu lepas jawatan semasa perhimpunan agung tahunan parti, mengapa yang lain tak bersuara, tegaskan perlu pertahan hala tuju parti. Sebaliknya mereka menangis sedih, kata sokong presiden, tapi kemudian ada gerakan untuk guling presiden,” katanya.

Sebelum ini ada ura-ura menyatakan kemungkinan Datuk Seri Hamzah Zainudin akan dipecat dan jawatan beliau sebagai Setiausaha Agung parti itu akan diambil alih oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malah Kedudukan Hamzah Zainuddin selaku Ketua Pembangkang juga dilaporkan akan digantikan dengan Muhyiddin Yassin sendiri susulan kedudukan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai Presiden parti didakwa sedang dicabar pasukan Hamzah Zainuddin.

Sementara seorang pemimpin Bersatu dari Selangor sebagai mengulas perkembangan dalam parti itu berkata, jika keadaan ketika ini berterusan, beliau berpandangan lebih baik mereka kembali menyertai parti asal.

“Dalam Bersatu, ada pemimpin menampakkan seperti mereka suci, jumpa akar umbi kata tak ada duit, minta semua berkorban, tetapi mereka sendiri ambil keuntungan.

“Macam Umno, organisasi sihat, presiden kuat, ada hala tuju walau apa pun orang kata. Umno kini dalam kerajaan, bukankah itu bukti Umno kuat,” katanya.

“Perpecahan dalam Bersatu makin parah, ada kemungkinan presiden lantik setiausaha agung baharu. Namun, presiden mungkin ambil langkah selamat dengan tolak dakwaan ada perpecahan dalam parti,” katanya seorang lagi pemimpin parti itu seperti dilapor Harian Metro.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal baru-baru ini mendedahkan 10 lagi Ahli Parlimen Bersatu dijangka memberi sokongan kepada Perdana Menteri menjelang pembukaan sidang Parlimen pada 26 Februari ini.

BACA LAGI: Dakwaan 10 lagi Ahli Parlimen PN sokong PM Anwar, kerajaan bersikap terbuka

Beliau mendakwa, mereka yang mahu menyatakan sokongan kepada Anwar dan Kerajaan Perpaduan, termasuk lima nama besar dalam Bersatu dan kini sedang mencari kaedah terbaik untuk berbuat demikian.

Related Articles

Back to top button