Anwar

Peningkatan bayaran STR dapat ringankan beban rakyat – PM Anwar

Bayaran bagi Fasa 1 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 bermula hari ini diharap dapat meringankan beban rakyat disebabkan kenaikan harga barang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akur bahawa kesulitan kenaikan harga barang merupakan masalah utama yang membelenggu sebilangan besar rakyat.

“Hatta, saya berharap peningkatan bayaran yang ketara ini dapat meringankan beban kalian. Kerajaan Madani beriltizam memberi rakyat sejagat kehidupan yang bermaruah.

“Kunci kestabilan negara terletak kepada kesaksamaan dan keadilan sosial seperti yang didamba dalam kerangka Ekonomi Madani,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar berkata, bayaran maksimum STR bagi isi rumah pada tahun ini ditingkatkan lebih daripada 66 peratus kepada RM500 berbanding RM300 pada tahun lalu.

Justeru, beliau berharap para penerima STR Fasa 1 dapat memanfaatkan sebaiknya bantuan berkenaan.

Pembayaran STR Fasa 1 akan diagihkan kepada 8.2 juta penerima bermula hari ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan pembayaran tersebut akan dibuat kepada penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR.

Menurutnya, STR bakal disalurkan melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat, mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Related Articles

Back to top button