Anwar

PM Anwar beriltizam mereformasi ekonomi, julang kembali darjat rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beriltizam untuk mereformasi ekonomi negara bagi menjulang kembali darjat rakyat.

Beliau berkata, usaha itu wajib bermula dengan golongan kurang berkemampuan dan program subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diumum minggu lepas merupakan antara langkah besar bagi merealisasikan gagasan itu.

“Saya turun padang ke Pasar Borong MYDIN di Meru, Ipoh bagi melihat sendiri kesedaran dan impak SARA yang disasarkan untuk membantu menambah kuasa beli kepada mereka yang memerlukan bagi mendapatkan barang-barang asas dari rangkaian rakan runcit dengan lebih 500 kedai terlibat di seluruh negara,” kata Anwar melalui dalam hantaran di laman Facebook.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tambun itu meninjau Program Jualan Termurah Khidmat Demi Rakyat di Padang Awam Klebang Restu.

Beliau kemudian melawat kaunter bergerak Lembaga Hasil Dalam Negeri Perak bagi semakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta SARA di MYDIN Meru.

BACA LAGI: Kerajaan Perpaduan laksana pelbagai inisiatif tingkat ekonomi rakyat

Anwar sebelum ini mengumumkan SARA akan kembali dan bermula secara berperingkat pada 22 Januari lepas.

Beliau turut memaklumkan ia telah ditambah baik dengan peruntukan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM700 juta berbanding RM130 juta pada 2023.

“Moga ia bermanfaat dan meningkatkan ekonomi negara,” tambah Anwar melalui hantarannya.

Related Articles

Back to top button