Umum

Bossku terima pengampunan? Tunggu kenyataan rasmi

Pengamal media diminta menantikan kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan berhubung permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan tidak menghasilkan berita berdasarkan sumber semata-mata, kata Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Merujuk laporan sebuah portal yang memetik sumber mengatakan bahawa Najib telah mendapat pengampunan daripada Lembaga Pengampunan, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, adalah penting bagi pengamal media memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum berita itu diterbitkan.

Beliau berkata, dalam isu-isu besar, adalah penting untuk memastikan kesahihan maklumat yang diterima, lebih-lebih lagi apabila memilih untuk melaporkan berita berdasarkan sumber.

“Saya juga semak dengan StratComm Kabinet dan YB Azalina (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said).

“… kita kena tunggu (kenyataan) Lembaga Pengampunan,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa turut senada dengan Fahmi mengenai perkara itu.

“Tunggu kenyataan rasmi daripada Lembaga Pengampunan.

“Ia (mesyuarat) diadakan semalam di Istana Negara. Ya (saya menghadiri mesyuarat itu),” katanya.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP) RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd (SRC), serta tiga pertuduhan setiap satu pelanggaran jenayah kepercayaan dan salah guna kuasa berkenaan dengan RM42 juta dana SRC.

Related Articles

Back to top button