Mahkamah

Individu ugut bunuh Perdana Menteri dihadapkan ke Mahkamah pagi ini

Seorang individu yang melakukan melakukan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dihadapkan ke mahkamah pagi ini.

Ibu pejabat polis Bukit Aman dalam satu kenyataan seperti disiar media memaklumkan, individu tersebut yang merupakan pemilik akaun TikTok @jaiadani89 itu akan didakwa Mahkamah Siber, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada pukul 9 pagi.

Individu berusia 34 tahun itu menurut kenyataan tersebut akan dikemukakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

BACA LAGI: Ugutan bunuh bukti budaya takfiri, ekstremisme menular

Terdahulu, individu itu memuat naik sebuah video yang menawarkan habuan RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah parti politik. Video berkenaan kemudiannya dipadamkan dari media sosial.

Susulan itu, pada hujung November lalu, polis melakukan penahanan terhadap lelaki berkenaan di Jalan Padang Tembak, Kota Bharu Kelantan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini berkata, kes itu disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Related Articles

Back to top button