Umum

JPJ tawar nombor pendaftaran istimewa ‘GOLD’

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa (NPI) iaitu siri ‘GOLD’ sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata bidaan itu dibuka mulai Khamis ini melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) sehingga pukul 10.00 malam, 5 Februari ini.

“Bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-50, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui JPJ Malaysia akan menawarkan NPI secara bidaan dalam talian melalui Sistem JPJeBid kepada orang awam.

“Selain itu juga, penawaran NPI siri ‘GOLD’ ini adalah merupakan usaha Kementerian Pengangkutan untuk merealisasikan hasrat kerajaan dengan melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah kementerian seperti bantuan lesen memandu, bantuan topi keledar dan subsidi FlySISWA,” katanay menerusi satu kenayataan, hari ini.

Dalam pada itu, Anthony Loke turut memaklumkan, Kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang telah ditetapkan melalui Sistem JPJeBid.

Jelasnya, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh dua belas (12) bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.

Anthony Loke berkata, orang awam dialu-alukan untuk menyokong hasrat kerajaan seperti mana inisiatif yang telah dimaklumkan dengan menyertai bidaan.

“Penawaran melalui Sistem JPJeBid ini juga merupakan usaha MOT dan JPJ dalam merealisasikan penyampaian perkhidmatan pendigitalan sepenuhnya,” katanya.

Related Articles

Back to top button