Semasa

MITI kerjasama dengan kementerian lain dalam usaha tingkat ketersediaan tenaga kerja mahir

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berusaha memastikan keperluan tenaga mahir di negara ini dapat memenuhi permintaan pelabur.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, MITI akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Majlis TVET Negara bagi merangka perancangan yang sewajarnya dalam meningkatkan bilangan golongan itu.

“Satu contoh adalah kami membincangkan cadangan untuk membenarkan pelajar yang belajar di universiti Malaysia, seperti pelajar kejuruteraan untuk bekerja. Pada masa ini mereka tidak dibenarkan untuk bekerja.

“Kita akan lihat pada bahagian yang tidak dapat ditampung oleh pekerja tempatan, terutamanya dalam perkhidmatan tokokan nilai dan sektor teknologi tinggi, dan membenarkan pelajar bekerja bagi satu tempoh tertentu,” katanya kepada pemberita selepas majlis Dialog MITI 2024, di Kuala Lumpur pada Isnin.

BACA LAGI: Pelajar aliran agama disaran manfaat peluang sambung pengajian dalam bidang TVET

Tengku Zafrul sementara itu mengulas keperluan meningkatkan jumlah tenaga kerja mahir di negara ini.

Memberi contoh pembukaan kilang AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn Bhd di Kulim, Kedah , beliau menjelaskan bagaimana kilang tersebut memerlukan 6,000 jurutera.

“Intel memerlukan 5,000 jurutera. Ia suatu yang positif (pelaburan) tetapi pada masa yang sama, negara kita perlu memastikan tenaga kerja ada tersedia.

“Kita juga perlu menarik pekerja dan pelajar kita di luar negara untuk kembali ke tanah air; kita ada ramai (pekerja dan pelajar di luar negara),” katanya.

Related Articles

Back to top button