Negeri

Pahang serius tangani aktiviti penerokaan tanah haram – Wan Rosdy

Kerajaan negeri Pahang serius dalam usahanya menangani aktiviti penerokaan tanah haram di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara langkah dilaksanakan termasuk mendakwa mereka yang terlibat terus ke mahkamah

Langkah itu yang dilaksanakan bermula tahun lepas didapati dapat mengurangkan aktiviti pencerobohan tanah sejak kebelakangan ini.

“Tindakan ini bukan untuk memalukan atau mengaibkan, tetapi untuk beri pengajaran kepada mereka yang buat kerja tidak sihat ini yang menjejaskan imej kerajaan negeri.

“Sebab itu kita sangat serius dan bawa mereka ke mahkamah terus, tidak lagi mengeluarkan kompaun (seperti sebelum ini),” tegasnya.

Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Penghutanan Semula Dalam Hutan Simpan Kekal Negeri Pahang oleh Syarikat Amat Bayu Sdn Bhd di Hutan Simpan Tersang di sini Raub pada Isnin.

Mengulas mengenai kejadian tanah runtuh di Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands, Jumaat lalu, Wan Rosdy menyatakan rasa kesal apabila masih ada pihak tidak bertanggungjawab meneroka tanah secara haram

“Kejadian ini sedikit sebanyak menjejaskan imej kerajaan negeri kerana kita pantau, namun bila buat secara haram ia di luar kawalan kita, negeri Pahang ini luas,” jelasnya.

BACA LAGI: Selangor giat usaha melestari alam sekitar

Sementara itu Wan Rosdy sebagai mengulas projek penghutanan semula di Pahang berkata, ia telah bermula pada 2000 dengan keluasan 404.69 hektar, dan hingga tahun lepas keluasan projek sudah meningkat kepada 34,342.22 hektar.

Bagi projek penghutanan semula yang dirasmikannya semalam, Wan Rosdy berkata ia dilaksanakan Syarikat Amat Bayu Sdn Bhd melibatkan kawasan seluas 20,303.27 hektar dalam tempoh 60 tahun.

“Saya berharap projek ini menjadi contoh pengurusan projek penghutanan semula yang baik dan mematuhi peraturan semasa yang sedang berkuat kuasa. Menerusi projek ni, kawasan tidak berhutan atau kawasan terosot akibat bencana alam atau penerokaan untuk pembangunan dapat dipulihkan semula,“ tambahnya.

Related Articles

Back to top button