Pergolakan politik amat menyedihkan, hanya sebabkan rakyat rugi – Al-Sultan Abdullah
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan pergolakan politik tanah air telah menyebabkan rakyat menanggung pelbagai kerugian
Al-Sultan Abdullah ketika berkongsi pengalaman pemerintahannya dalam wawancara bersama beberapa media tempatan dan antarabangsa di Istana Negara baru-baru ini bertitah, pergolakan itu merupakan situasi yang amat menyedihkan bagi baginda.
“Keadaan politik tidak tenteram juga saya anggap itu satu keadaan yang sedih kerana apabila kerajaan tubuh pada 2019, kita mengharapkan negara dapat meneruskan pentadbiran sebaik mungkin, tetapi sebaliknya berlaku.
“Pada masa sama, pertukaran kerajaan ini bukanlah perkara yang mudah dan bukan harus dipraktik sewenang-wenangnya kerana ia merugikan kita, negara dan rakyat. Ia juga merugikan masa dan kewangan dan pelbagai lagi.
“Saya bukan nak menidakkan mana-mana pihak politik, tetapi pengalaman menukar kerajaan itu satu proses yang cukup merugikan negara,” titah baginda.
BACA LAGI: Rakyat rasai hikmah keadilan, kebijaksanaan Al- Sultan Abdullah
Bagaimanapun Yang di-Pertuan Agong Ke-16 itu turut bersyukur kerana diberi peluang memerintah dengan sepenuh jiwa dan hati baginda, disulami sokongan pelbagai lapisan rakyat.
“(Pengalaman) manis itu banyak antaranya yang terkini Kembara Kenali Borneo, sebelum itu juga saya selalu jumpa rakyat, bantu rakyat, apabila kemalangan dalam perjalanan saya.
“Saya juga mendekati, menyantuni rakyat di gerai-gerai makan dan di restoran, juga berswafoto bersama mereka selain bergurau senda.
“Saya anggap ini adalah kenangan manis kerana apabila saya dapat menyantuni rakyat ia memberi semangat kepada saya,” ujar baginda dipetik laporan media.
.