PM Anwar, isteri sebak iringi keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir mengiringi keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.
Susana hiba menyelubungi Kompleks Bunga Raya tatkala Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengucapkan selamat tinggal sempena tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Saya dan Azizah turut terkesan dan tidak dapat menahan sebak ketika mendakap baginda Tuanku Agong dan Raja Permaisuri Agong sebelum menyaksikan baginda berdua berlepas pulang ke Pahang.
“Didoakan baginda berdua serta seluruh Kerabat Diraja dikurniakan keafiatan dan dilimpahkan kesejahteraan berpanjangan. Moga kasih sayang rakyat terhadap baginda berdua kekal buat selamanya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Sebelum itu, Anwar turut memuat naik hantaran berbentuk video yang turut menggambarkan junjungan kasihnya kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri.
Dalam hantaran itu, Anwar menyatakan kebijaksanaan pemerintahan Al-Sultan Abdullah sudah tentu akan dikenang oleh rakyat di samping kewibawaannya dalam merungkai kemelut politik.
“Pemerintahan Tuanku yang merakyat disulam hikmah keadilan serta kebijaksanaan tentunya dikenang rakyat yang menikmati limpahan keamanan dan kesejahteraan sepanjang tempoh baginda bersemayan di atas takhta.
“Kewibawaan Tuanku merungkai kemelut politik negara dan menggagaskan sebuah Kerajaan Perpaduan telah membugar kestabilan dan memungkinkan usaha untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara ini ke tingkat tertinggi,” katanya.
Setelah lima tahun bertakhta sebagai Agong, pemerintahan Al-Sultan Abdullah telah tamat pada 30 Januari ini dan akan digantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.