Semasa

Indeks Persepsi Rasuah Malaysia 2023 melonjak naik – TI-M

Malaysia memperbaiki Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) apabila naik tiga mata kepada 50 pada tahun 2023 berbanding 47 mata pada 2022.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan berkata, Malaysia kini berada di kedudukan 57 daripada keseluruhan 180 negara, berbanding tangga 61 tahun sebelumnya.

Manakala di kalangan negara ASEAN, Malaysia kedua terbaik selepas Singapura yang merekod skor 83, dan berada di tangga kelima daripada 180 negara.

Ia jelasnya memberi harapan baharu untuk negara setelah skor Malaysia jatuh enam mata dalam tempoh tiga tahun lalu sejak 2019.

“Jadi pada 2023, skor itu melantun semula (rebound). Terdapat lantunan tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan. (Skor) Meningkat tiga mata pada 2023, jadi apa yang boleh dikatakan adalah ia memberi kita harapan.

“Sekiranya markah lulus ialah 50 mata, maka seolah-olah kita kembali semula (ke markah selamat),” katanya ketika taklimat CPI 2023 di Petaling Jaya pada Selasa.

BACA LAGI: PM Anwar rayu sokongan padu rakyat jayakan usaha lawan rasuah

TI-M menjelaskan, antara kemungkinan faktor lantunan skor tersebut adalah peranan SPRM dan Peguam Negara dalam pendakwaan dua bekas Perdana Menteri dan sabitan bekas Perdana Menteri dalam kes rasuah SRC International menunjukkan kebebasan kehakiman di Malaysia dan kedudukan Malaysia di tangga 40 dalam Indeks Demokratik oleh Unit Perisikan Ekonomi pada 2022, dengan skor 7.3/10.

Selain itu, arahan Perdana Menteri untuk meningkatkan Kod Tadbir Urus Negara, siasatan semasa mengenai kekayaan (bekas) ahli politik yang tidak didedahkan dan penetapan skor sasaran CPI kebangsaan dalam 10 tahun pula dilihat aspek perkembangan positif dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, TI-M turut menggariskan beberapa kelemahan yang harus dititikberatkan, iaitu kelemahan kepada kesinambungan berterusan amalan tadbir urus yang baik dan perkembangan yang perlahan terhadap kemajuan dan pembaharuan perundangan berkaitan tadbir urus.

“Bagi Malaysia untuk menunjukkan peningkatan berterusan dalam skor CPI dan mencapai visi yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, kerajaan Madani harus mempercepatkan pembaharuan institusi dan perundangan kerana mereka kini berada dalam persekitaran politik yang stabil dan mempunyai majoriti bekerja di parlimen,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button