Umum

JPPKK tumpu lima fokus tingkatkan prestasi sistem pendidikan TVET POLYCC

Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menggariskan lima fokus utama untuk tahun 2024 selari dengan fokus dan hala tuju yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tahun ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd Zahari Ismail berkata, selain itu pihaknya turut menggariskan 11 keutamaan yang akan direncanakan secara jelas dan strategik.

“Lima fokus utama itu adalah memperkasa kompetensi berasaskan industri, meneroka ‘translational research’, memperhebat program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

“Bagi fokus keempat pula adalah untuk mempergiat pengantarabangsaan dan terakhir untuk mengupayakan ekosistem pemboleh daya TVET POLYCC,” katanya dalam ucapan ketika Majlis Aspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Tahun 2024, baru-baru ini.

Mengenai 11 keutamaan pula, Zahari berkata, terdapat empat keutamaan yang ditetapkan melalui fokus pertama untuk mencapai sasaran memperlengkapkan graduan POLYCC dengan set kemahiran dan kompetensi terkini yang diperlukan oleh industri.

“Ia merangkumi Work-Based Learning (WBL) dan Structured Internship Programme (SIP), Reskilling and Upskilling pekerja industri, kemahiran industri pensyarah serta pembentukan atribut pelajar.

“Saya percaya kita sudah cukup pengalaman dalam mengendalikan WBL yang mana penawaran tujuh program peringkat ijazah sarjana muda dan tujuh program peringkat diploma bagi mod WBL dilaksanakan dengan jayanya.

“Begitu juga SIP, sehingga kini politeknik telah bekerjasama dengan 25 industri bagi menjalankan SIP. Seramai 6,142 graduan telah menyertai program ini di mana seramai 1,673 orang daripadanya telah ditawarkan bekerja,” katanya.

Tambah Zahari, dengan itu, sasaran pada tahun ini beliau mahukan lebih banyak penglibatan industri dalam pelaksanaan WBL dan SIP tersebut.

“Ketiga pula Reskilling and Upskilling Pekerja Industri turut akan diperluas bagi meningkatkan kemahiran serta kompetensi pekerja industri terutamanya dalam aspek yang dilihat ketinggalan susulan revolusi serta anjakan teknologi,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Zahari berkata rancangan penubuhan dan pengoperasian Reskilling and Upskilling Centre (RUC) di 16 buah politeknik perlu diteliti supaya peranannya lebih jelas.

RUC bakal menawarkan pakej program latihan kepada pihak industri menggunakan pendekatan Time Sector Privatisation (TSP) di mana projek rintis ini bakal melibatkan seramai 3,000 pekerja industri yang akan dilatih secara berperingkat.

Related Articles

Back to top button