Pelantikan Sultan Ibrahim sebagai Agong beri nafas baharu dalam memerangi rasuah
Profesor Sains Politik, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Akademi Sains, Prof Datuk Dr Jayum Anak Jawan menyifatkan pelantikan Sultan Johor sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 seakan memberi nafas baharu dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.
Katanya dipetik laporan polis, kenyataan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bahawa baginda yang akan ‘memburu’ perasuah membawa mesej jelas bahawa baginda serius dalam menangani isu berkenaan.
“Saya melihat Malaysia berada di landasan tepat apabila seorang pemimpin utama negara menekankan tentang benci rasuah dan akan memberi lebih perhatian kepada 30 juta rakyat negara ini.
“Baginda juga sebelum ini pernah bertitah dan menzahirkan kerisauan dengan permainan politik yang berlebihan akan mengabaikan suara dan kepentingan rakyat.
“Harapan kita dan semua rakyat, dengan pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong, permainan politik bagi kepentingan individu akan berkurangan,” katanya dipetik Sinar Harian.
BACA LAGI: Pergolakan politik amat menyedihkan, hanya sebabkan rakyat rugi – Al-Sultan Abdullah
Sultan Ibrahim secara rasmi dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang tempoh perkhidmatannya berakhir semalam.
Baginda Sultan Ibrahim dalam wawancara bersama The Straits Times Singapura sebelum ini bertitah, mahu memberi tumpuan untuk menghentikan amalan rasuah.
Baginda bertitah, kerajaan yang stabil haruslah konsisten dengan dasar mampan yang diperlukan untuk memperbaiki ekonomi negara.