Sultan Ibrahim sempurnakan Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara
Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong ke-17, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Istana Negara, Kuala Lumpur pada pukul 10.37 pagi bagi menyempurnakan Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan di Balairung Seri, Istana Negara pada Rabu (hari ini).
Upacara tersebut diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264.
Ketibaan Sultan Ibrahim disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudiannya berkenan untuk memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada pegawai, anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Sultan Ibrahim kemudian melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Yang di-Pertuan Agong ke -17 pada pukul 11.18 pagi.
Istiadat kemudian diteruskan dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan untuk melafaz sumpah serta menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada pukul 11.22 pagi.
Perdana Menteri kemudian membaca kandungan Surat Perisytiharan Memegang Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 kali ini dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
Sejurut selesai, Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini mengumumkan tamatnya istiadat berkenaan.
Turut hadir pada istiadat tersebut, barisan jemaah menteri dan seluruh kerabat diraja.