Semasa

Hazani Ghazali dilantik Ketua Pengarah MCBA pertama

Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) yang pertama, berkuat kuasa semalam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media khas di Putrajaya pada Rabu berkata, Hazani yang sebelum ini merupakan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman merupakan individu berpengalaman.

Beliau turut mempunyai legasi dalam penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Lahad Datu yang mengawal keselamatan di Timur Sabah.

“Pelantikan beliau adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman yang luas selama 37 tahun dalam bidang keselamatan dan ketenteraman negara serta penguatkuasaan dan kawalan undang-undang.

“Kita perlukan individu yang mempunyai commanding skill dan tugas utama beliau kini adalah menyegerakan pembikinan rang undang-undang ke arah menjelmakan entiti MCBA ini,” katanya Saifuddin.

MCBA merupakan agensi barisan hadapan di pintu masuk negara termasuk pelabuhan yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan sempadan serta pemeriksaan secara bersepadu dan komprehensif.

BACA LAGI: KDN sedang kaji pindaan Akta 298, tingkat aspek keselamatan negara

Difahamkan, agensi itu akan menyatukan lebih 20 agensi penguat kuasa di 141 pintu masuk, antaranya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pelaksanaan MCBA merupakan agenda nasional dalam memperkasa tiga aspek utama iaitu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di pintu masuk negara, mengurangkan ketirisan hasil negara dan meningkatkan aspek integriti dalam kalangan penguat kuasa bagi mengawal dan melaksanakan pemeriksaan antara lain terhadap orang, barang, kenderaan, binatang dan tumbuhan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan sebuah agensi tunggal sempadan negara (SBA) sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Related Articles

Back to top button