Semasa

Kerajaan mulakan inisiatif penanaman bawang berskala besar

Kerajaan sedang melaksana inisiatif penanaman bawang pada skala lebih besar.

Ketua Pengarah Pertanian (DoA) Datuk Nor Sam Alwi melalui satu kenyataan berkata, langkah memperkasakan industri bawang dalam negara dibuat setelah mengambil kira kepelbagaian makanan di Malaysia yang memerlukan bawang sebagai satu daripada ramuan penting masakan.

Tambah Nor Sam, inisiatif itu dilaksana melalui usaha sama strategik kerajaan negeri serta usahawan berpotensi menerusi dua fasa iaitu upskilling atau latihan semula dan pengukuhan.

“Projek upskilling tanaman bawang telah dijalankan pada 24 Jan lepas di kawasan seluas satu hektar di Kampung Ladang Bikam, Sungkai, Perak.

“Melalui pemerhatian projek ini, peluasan kawasan baharu akan dilakukan di seluruh negara dan penyampaian teknologi penanaman ini akan dilaksanakan oleh DoA,” katanya melalui kenyataan tersebut.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini berkata, kementeriannya mahu memberi fokus mengukuhkan indistri bawang bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.

BACA LAGI: MARDI ambil langkah proaktif kurangkan kebergantungan kepada bawang import

Pada 2022, Malaysia mengimport dua jenis bawang iaitu bawang besar dan bawang kecil adalah 685,400 tan metrik (mt) dengan nilai sebanyak RM1.58 bilion.

Malaysia mengimport bawang dari 20 buah negara dengan jumlah tertinggi adalah dari India iaitu 321,776.16 mt, Belanda (77,772.55 mt), China (47,165.48 mt), Pakistan 42,957.62 mt, Thailand 12,186.52 mt serta lain-lain negara.

Dalam memenuhi matlamat pengurangan import bawang sebanyak 30 peratus, Mohamad berkata KPKM menyasarkan seluas 1,447 hektar kawasan penanaman setahun.

Melalui projek itu, Jabatan Pertanian (DoA) bersama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melaksanakan pemantauan agronomi tanaman termasuk pembajaan, sistem pengairan, kawalan penyakit dan perosak serta kesesuaian mekanisasi ladang.

Sementara itu menurut Nor Sam, krisis bekalan bawang pada 2020 akibat bencana banjir besar di India telah mengakibatkan kenaikan harga jualan bawang di pasaran sebanyak tiga kali ganda,

“Memandangkan Malaysia mempunyai daya tarikan gastronomi yang unik, maka bawang dilihat sebagai komoditi tanaman yang strategik untuk dibangunkan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button