Nasional

Kerajaan setuju lebarkan jalan di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak

Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran jalan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) sebagai penyelesaian jangka panjang masalah kesesakan trafik di jajaran tersebut.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek yang bakal dijalankan Syarikat Anih Berhad itu bermula dari Plaza Tol Gombak ke persimpangan Lingkaran Tengah Utama, Bentong.

“Projek itu juga merangkumi pembinaan satu lagi terowong, penambahbaikan terhadap bahu jalan dan disediakan lampu jalan di keseluruhan jajaran untuk keselamatan dan keselesaan pengguna.

“Saya berharap dengan pelaksanaan projek-projek ini, kesesakan lalu lintas di Lebuhraya KLK dapat ditangani dan dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri memperoleh penyelesaian tersebut setelah memanggil syarikat konsesi itu untuk memberi taklimat serta membincangkan langkah-langkah penyelesaian kesesakan berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang diadakan pada Rabu.

Katanya, kerajaan negeri menyedari masalah kesesakan lalu lintas di Lebuhraya KLK terutama dari Plaza Tol Bentong hingga ke Plaza Tol Gombak sepanjang 42 kilometer yang sering berlaku pada musim perayaan, cuti umum dan juga cuti hujung minggu.

Tambah beliau, terdapat tujuh pendekatan atau mitigasi telah dan akan dilaksanakan oleh syarikat konsesi Anih Berhad bagi penyelesaian jangka pendek.

“Menjadualkan kerja pembaikan di luar waktu puncak, mengeluarkan Nasihat Jadual Perjalanan kepada pengguna ketika musim perayaan dan menambah jumlah kakitangan yang bertugas untuk memastikan kejadian luar jangka yang berlaku ditangani segera.

“Menyediakan perkhidmatan kren/kembalik dalam keadaan tunggu sedia (standby) agar sebarang kejadian luar jangka dapat ditangani dengan segera dan persediaan dua lokasi ‘tidal flow’ (KM55-59 arah timur dan KM60-56 arah barat) tetapi pelaksanaannya tertakluk kepada pecahan trafik di kedua-dua arah mencapai nisbah trafik 70-30 (barat-timur) bagi mengelakkan kesesakkan.

“Melaksanakan Lane Segregation Plaza Tol Gombak Arah Barat mengikut destinasi (Batu Cave/Ampang) bagi mengurangkan isu ‘weaving’ serta melaksanakan ‘tapering cone’ untuk ‘merging lane’ di empat lokasi strategik untuk mengelakkan ‘weaving’ di ‘conflict point’ iaitu di susur dari Karak, susur dari Lingkaran Tengah Utama (LTU), pusingan U MRSM dan susur dari UIA selepas Plaza Tol Gombak,” katanya.

Related Articles

Back to top button