Nasional

Mahasiswa Keadilan Malaysia gesa Lembaga Pengampunan tolak permohonan Najib

Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) berpendirian permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu ditolak Lembaga Pengampunan.

Jurucakap MKM berkata, Najib yang telah dibuktikan bersalah oleh tiga mahkamah dan sembilan Hakim dalam kes penyelewengan RM42 juta dana bekas syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd.

Menurutnya, penyelewengan yang dilakukan oleh bekas Presiden Umno itu menyebabkan Malaysia dibebani hutang dalam jumlah yang besar.

“Setakat ini kerajaan Malaysia sudah membayar jumlah keseluruhan hutang 1MDB sebanyak RM43.8 bilion, dengan baki hutang yang belum dibayar berjumlah RM9.7 bilion, membabitkan prinsipal RM5 bilion dan faedah RM4.7 bilion.

“Hutang-hutang 1MDB ini terpaksa ditanggung oleh rakyat secara bergenerasi,” katanya.

Tegas beliau, rasuah dan kebobrokan perlu dibasmi sepenuhnya kerana ia berupaya menjahanamkan negara.

“Berapakah sekolah dan hospital boleh dibina jika syarikat tersebut tidak wujud?

“Kami percaya bahawa setiap penyakau harus dihukum di mahkamah dan menjalankan hukumannya dengan penuh,” katanya.

Jelas jurucakap itu lagi, penyelewengan oleh pemimpin utama negara itu memberi mesej jelas yang boleh diibaratkan seperti sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

“Jangan kita syok mengejarkan ghanimah apabila berkuasa kerana kebenaran tetap akan muncul.

“Namun, kami berharap agar rakyat Malaysia diberi kesabaran serta meletakkan kepercayaan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang turut menganggotai lembaga pengampunan mengesahkan bahawa keputusan telah dibuat dan kenyataan mengenainya akan dikeluarkan.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan tepat bila kenyataan itu akan didedahkan.

Pada masa yang sama, Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menyeru media agar menunggu kenyataan rasmi Lembaga pengampunan sebelum membuat sebarang laporan.

Related Articles

Back to top button