Global

Mahkamah Dunia tolak kes yang dibawa Ukraine terhadap Rusia terkait MH17

Hakim di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu mendapati Russia melanggar elemen perjanjian anti keganasan PBB, namun enggan memutuskan dakwaan yang dibawa Kyiv bahawa Moscow bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di timur Ukraine pada 2014.

Dalam keputusan sama, hakim di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mendapati Rusia melanggar perjanjian anti diskriminasi dengan gagal menyokong pendidikan bahasa Ukraine di Crimea selepas penaklukan semenanjung itu pada 2014.

Mahkamah juga menolak permintaan Ukraine untuk memerintahkan ganti rugi bagi kedua-dua pelanggaran berkenaan dan hanya mengarahkan Rusia untuk mematuhi perjanjian itu.

Wakil Ukraine, Anton Korynevych, menegaskan penghakiman berkenaan penting untuk Kyiv kerana ia menunjukkan Rusia melanggar undang-undang antarabangsa.

“Ini adalah kali pertama secara rasmi, Rusia secara sah dipanggil pencabul undang-undang antarabangsa,” katanya kepada wartawan selepas keputusan itu.

Ukraine memfailkan tuntutan mahkamah di ICJ, yang juga dikenali sebagai Mahkamah Dunia pada 2017, menuduh Rusia melanggar perjanjian anti keganasan dengan membiayai pemisah pro Rusia di Ukraine.

Hakim berkata, Moscow melanggar perjanjian anti keganasan PBB dengan tidak menyiasat dakwaan munasabah bahawa beberapa dana dihantar dari Rusia ke Ukraine untuk membiayai aktiviti keganasan.

Panel 16 hakim itu mengarahkan, Rusia untuk menyiasat sebarang dakwaan munasabah mengenai pembiayaan keganasan tetapi menolak permintaan Kyiv untuk ganti rugi.

Mahkamah enggan membuat keputusan mengenai MH17 yang ditembak jatuh, dengan berkata pelanggaran membiayai keganasan hanya digunakan untuk sokongan kewangan dan bukan untuk membekalkan senjata atau latihan seperti yang didakwa Ukraine.

Ukraine berhujah bahawa Rusia membekalkan sistem peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat terbabit, tetapi ia tidak mendakwa sokongan kewangan dalam keadaan itu.

Dalam perbicaraan mahkamah di The Hague Jun lalu, Rusia menolak dakwaan Ukraine bahawa ia membiayai dan mengawal pemisah pro Rusia di timur Ukraine, menyifatkannya sebagai fiksyen dan ‘pembohongan terang-terangan’.

Dalam kes yang mengambil tempoh hampir tujuh tahun itu, Kyiv menuduh Rusia memberi kemudahan dan membiayai tentera pro Rusia, termasuk pemberontak yang menembak jatuh MH17 pada Julai 2014, yang membunuh semua 298 penumpang dan anak kapal.

Pada November 2022, mahkamah Belanda menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine tanpa kehadiran kerana peranan mereka dalam tragedi itu.

Di Crimea, Ukraine berkata, Rusia cuba memadamkan budaya etnik Tatar dan Ukraine.

Mahkamah menolak semua tuntutan berkaitan Tatar, namun mendapati Moscow tidak melakukan yang secukupnya untuk menyokong pendidikan bahasa Ukraine.

Penghakiman mahkamah itu adalah muktamad dan tanpa rayuan, tetapi ia tidak mempunyai cara untuk menguatkuasakan keputusannya.

Pada Jumaat, ICJ akan membuat keputusan dalam kes lain, yang mana Ukraine menuduh Moscow secara palsu menggunakan Konvensyen Genosid 1948 untuk mewajarkan pencerobohannya pada 24 Februari 2022. – Reuters

Related Articles

Back to top button