Sukan

Malaysia muncul naib juara Piala Dunia Hoki 5s di Belanda

Malaysia muncul sebagai naib juara pada edisi sulung Piala Dunia Hoki 5 sebelah (5s) 2024 selepas tewas 2-5 di tangan Belanda pada aksi final, malam Rabu (awal pagi Khamis di Malaysia).

Pada aksi final di Hockey Oman Venue itu, Belanda membuka tirai awal menerusi jaringan Van Der Drift Yannick seawal minit pertama, namun Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan gol padang menerusi kapten, Mohamad Akhimullah Anuar Esook kurang daripada 45 saat kemudian.

Belanda, yang hadir selaku juara Eropah, kemudian melebarkan jurang menerusi jaringan gol padang Reyenga Pepijn pada minit keenam dan Drift Yannick pada minit ke-13 untuk mendahului 3-1 menjelang waktu rehat.

Bersambung babak kedua, Muhammad Firdaus Omar merapatkan jurang bagi skuad kendalian Wallace Tan menerusi jaringan minit ke-16, tetapi Belanda berjaya muncul juara sulung Piala Dunia 5s apabila Sander de Wijn (minit 26) dan Jamie van Aart (minit 28) masing-masing menjaringkan satu gol.

Malaysia mencipta sejarah mara ke final selepas mengatasi Poland 4-3 pada separuh akhir, manakala Belanda menewaskan tuan rumah Oman 5-3.

Sementara itu, Oman kemudian meraih gangsa selepas menewaskan Poland 3-2 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam hantaran di laman Facebook berkata buat masa ini, peruntukan kepada kedua-dua pasukan tidak dapat diberikan kerana Kejohanan Hoki 5s Piala Dunia 2024 yang disertai mereka di Muscat, Oman adalah pertandingan baharu.

Namun, kementerian bakal menyediakan peruntukan kepada skuad hoki 5s lelaki dan wanita negara tidak lama lagi.

Related Articles

Back to top button