Semasa

Pengampunan PATI: Program Repatriasi Migran dilaksana mulai 1 Mac

Bermula 1 Mac, kerajaan akan melaksana Program Repatriasi Migran bagi memudahkan penghantaran pulang warga asing yang tinggal di negara ini secara tidak sah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution melalui sidang media khas pada Rabu berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju agar Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang mahu pulang ke negara asal tidak akan dikenakan tindakan pendakwaan sebaliknya hanya perlu membayar kompaun.

“Program ini bersifat pengampunan pulang yang kita akan hebahkan supaya diguna pakai mereka yang terlibat untuk memudahkan penghantaran pulang,” katanya .

Program Repatriasi Migran itu merupakan kesinambungan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang tamat pada 31 Disember bagi memberi peluang kepada majikan untuk memohon pekerja asing tanpa izin bagi mengisi keperluan tenaga kerja.

Melalui program itu, kesalahan yang akan dikenakan kompaun adalah memasuki Malaysia tanpa pas (RM500), tinggal di Malaysia melebihi tempoh pas (RM500) dan melanggar syarat pas (RM300).

BACA LAGI: N9 buat pemutihan, pekerja warga asing perlu dipindahkan dari kawasan status kediaman

Sementara itu Saifuddin memaklumkan keputusan pembekuan kuota permohonan dan kelulusan pengambilan pekerja asing masih dikekalkan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Beliau berkata tiada keperluan untuk membatalkan pembekuan tersebut memandangkan tenaga asing yang diperlukan untuk sektor-sektor kritikal berkenaan sudah mencukupi termasuk daripada program Rekalibrasi Tenaga Kerja itu bagi mengisi kekosongan pekerja dalam sektor kritikal iaitu perladangan, perkilangan, pembinaan, pertanian dan perkhidmatan (restoran)

“Susulan itu, Jemaah Menteri pada mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk menubuhkan Pusat Kelulusan Setempat (One Stop Centre – OSC) pengurusan pekerja asing diwujudkan semula dan ditempatkan di Kementerian Dalam Negeri (KDN),” tambahnya.

Related Articles

Back to top button