Semoga Wilayah Persekutuan terus maju, mampan dan sejahtera! – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat menyambut Ulang Tahun Ke-50 kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Anwar menerusi hantaran di Facebook turut mengajak rakyat Malaysia untuk menyemai benih budaya perpaduan dan membuang mesej berbaur kebencian dengan sikap berkasih sayang juga rahmah antara satu sama lain.
“Ini juga selaras dengan konsep Madani yang menuntut kita harus santuni semua dan bermuafakat dalam menjayakan agenda pembangunan di negara ini.
“Semoga Wilayah Persekutuan terus maju, mampan dan sejahtera!” katanya.
Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Februari setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, usaha memperkasa pembangunan pesat di Wilayah Persekutuan perlu seiring dengan pembangunan sosial dan ekonomi penduduk.
Katanya, elemen-elemen penting yang diambil kira dalam setiap aspek pembangunan Wilayah Persekutuan merangkumi komuniti yang inklusif, perancangan dan pengurusan tanah yang mampan serta pengukuhan tadbir urus bandar.