Anwar

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim terima menghadap PM Anwar di Istana Negara

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan melalui Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dengan sekeping foto mengenainya turut dikongsi.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim selamat melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara yang berlangsung penuh adat istiadat di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada Oktober lalu bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Sultan Ibrahim, 65, dan Sultan Nazrin Shah, 67, melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-raja Melayu dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Januari 2019.

Related Articles

Back to top button