Semasa

Kerajaan telah memulakan transformasi digital, tambah baik tabdir urus data – Gobind Singh Deo

Malaysia telah memulakan transformasi untuk menambah baik tadbir urus data melalui penilaian semula Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan semakan peraturan subsidiari.

Menteri Digital Gobind Singh Deo bercakap pada Mesyuarat Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) kali keempat di Singapura berkata keutamaan terhadap aspek keselamatan siber telah menjadi keperluan segera disebabkan kemajuan teknologi pesat yang menyumbang kepada ancaman siber.

Justeru tegasnya, adalah penting untuk mengukuhkan keyakinan terhadap kaedah kendalian data peribadi.

“Dengan kekerapan pelanggaran data yang semakin meningkat menjadi kewajaran untuk menjangkakan rangka kerja privasi dan keselamatan yang berkesan.

“Objektif kami untuk menyelaras perundangan Malaysia berdasarkan penanda aras global dengan mewujudkan iklim perundangan mengenai perlindungan data seperti negara anggota ASEAN dan masyarakat antarabangsa yang lebih luas,” katanya.

Sementara itu tambahnya, Malaysia telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan keupayaan kerajaan digitalnya dan memacu transformasi digital di seluruh negara.

“Komponen utama usaha ini ialah MyDIGITAL yang diunjurkan menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025,” katanya.

BACA LAGI: KKM kearah transformasi digital, perkasa ekosistem penjagaan kesihatan rakyat

Mengulas mengenai Kementerian Digital yang baharu ditubuhkan beliau berkata, ia mempamerkan keazaman kerajaan Malaysia untuk mengambil bahagian secara aktif dalam ekonomi digital global serta kekal sebagai kuasa berdaya saing di pentas global.

Bagi menyokong hasrat ini, beliau berkata Malaysia melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Digital melancarkan inisiatif strategik nasional Malaysia Digital (MD) untuk mengambil alih Koridor Raya Multimedia (MSC) demi menangani cabaran utama dalam landskap transformasi digital masa kini dan menyediakan ekosistem ekonomi digital yang kukuh dan fleksibel.

ADGMIN 2024 berfungsi sebagai platform penting yang menghimpunkan usaha kerjasama negara anggota ASEAN dalam mentransformasikan rantau ini secara digital. Perhimpunan kali ini bertemakan “Building an Inclusive and Trusted Digital Ecosystem”.

Related Articles

Back to top button