Semasa

KPM fokus empat perkara, kukuh hala tuju pendidikan negara

Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperkukuh hala tuju pendidikan dengan memberi fokus kepada empat tunjang utama pendidikan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia adalah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta latihan teknikal dan vokasional (TVET), Bahasa Inggeris dan digital.

Kementerian jelasnya, menekankan pentaksiran serta kerangka kurikulum 2027 yang mendasari perkembangan diri, komunikasi, tanggungjawab, fasih digital, literasi pelbagai, kemahiran berfikir dan pembelajaran sepanjang hayat.

Justeru semua pihak diminta memberikan sokongan untuk menjayakan usaha yang sedang digerakkan KPM itu.

“Haluan negara ketika ini adalah STEM, TVET, Bahasa Inggeris dan digital. Jadi kita minta semua memberikan sepenuh sokongan untuk ekosistem kita khususnya hala tuju negara yang empat ini supaya dapat bersama-sama memperkukuhkan lagi pendidikan kita.

“Ketika ini juga, yang paling penting adalah melihat peluasan prasekolah yang sedang kita terajui di peringkat KPM,” katanya.

BACA LAGI: JPPKK tumpu lima fokus tingkatkan prestasi sistem pendidikan TVET POLYCC

Fadhlina berkata begitu pada ucapan di majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan penyerahan cek cura Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Yu Hua di Kajang pada Jumaat.

Ogos tahun lalu, Fadhlina berkata, kementerian juga sudah menetapkan hala tuju pendidikan termasuk dalam kurikulum STEM.

Ia sebagai usaha menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik yang menunjukkan penurunan.

Related Articles

Back to top button