Mark Zuckerberg di tangga ke-4 dalam senarai bilionair dunia
Kedudukan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook, Mark Zuckerberg melonjak ke tempat keempat dalam senarai bilionair dunia pada Jumaat.
Kenaikan itu berlaku susulan saham Meta melonjak pada kedudukan kewangan yang kukuh.
Menurut senarai yang dikeluarkan oleh majalah kewangan terkemuka dunia, Forbes, nilai bersih Zuckerberg meningkat sebanyak A$27.6 bilion atau 19.88 peratus, mencecah AS$167 bilion, lapor Anadolu Agency (AA).
Senarai baharu yang dikeluarkan itu juga menyenaraikan Zuckerberg, 39, di atas pengasas bersama Microsoft, Bill Gates, tokoh pelaburan Warren Buffett,dan pengasas bersama Oracle, Larry Ellison.
Zuckerberg juga berada di belakang pengasas Amazon, Jeff Bezos yang berada di tempat ketiga dengan nilai kekayaan beliau menghampiri AS$194 bilion, manakala, CEO SpaceX, Tesla serta X, Elon Musk di tempat kedua dengan nilai kekayaan AS$198 bilion.
Sementara itu, Bernard Arnault, 74, yang juga Pengerusi dan CEO syarikat fesyen terkemuka Perancis; LVMH, Moet Hennessy dan Louis Vuitton, mengetuai senarai orang kaya di dunia dengan nilai kekayaan yang direkodkan sebanyak AS$212 bilion. – Agensi